Torres masih ‘bernilai’ (19octt 2011) ~ asapstock.blogspot.com

Tuesday 18 October 2011

Torres masih ‘bernilai’ (19octt 2011)


Mengetepikan Fernando Torres bukan pilihan bijak apatah lagi pemain ini sering memainkan peranan besar sekalipun tidak menjaringkan gol. – Agensi


LONDON – Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas memberi isyarat jelas bahawa Fernando Torres berada dalam pelan jangka panjangnya apabila menyenaraikan bintang penyerang Sepanyol itu dalam skuad yang akan menentang kelab Belgium, Genk pada Liga Juara-Juara Eropah, hari ini.

Torres diketepikan dalam dua perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris akibat kad merah yang dilayangkan kepadanya ketika menentang Swansea 24 September lalu.

Begitupun penggantungannya tidak melibatkan kejohanan di Eropah dan bekas penyerang Liverpool itu boleh diturunkan di Stamford Bridge.

Sebelum dia disingkirkan gara-gara melakukan terjahan keras ke atas pemain Swansea, Mark Gower, Torres kembali menunjukkan beberapa naluri pemusnah yang meyakinkan pemilik kelab, Roman Abramovich untuk mengekalkan penyerang bernilai 50 juta pound (RM247 juta) itu.

Meskipun gagal membantu pasukannya menumpaskan Manchester United, dia bagaimanapun mencipta jaringan pertamanya musim ini ke atas gergasi Liga Perdana itu, sebelum menambah jaringan dalam pertemuan dengan Swansea.

Ketiadaan Torres membolehkan Daniel Sturridge mengisi kekosongan dan pemain muda England itu juga menunjukkan prestasi cemerlang dengan menyumbat gol dalam pertemuan menentang Bolton dan Everton.

Villas-Boas mempunyai opsyen untuk kekal dengan gandingan Sturridge, Didier Drogba dan Juan Mata sebagai penggempur utama, namun dia sedar mengetepikan Torres juga bukan pilihan bijak, apatah lagi pemain itu sering memainkan peranan besar sekalipun tidak menjaringkan gol.

“Kalau kita tidak menurunkannya, maka dia tidak akan bermain untuk satu tempoh yang panjang. Bagaimanapun dia tetap cergas kerana menjalani latihan setiap hari dan beraksi untuk Sepanyol.

“Sekarang kami kena membuat satu keputusan yang mengutamakan keperluan pasukan untuk perlawanan ini,’’ kata Villas-Boas.

Chelsea menerima kunjungan Genk dengan motivasi tinggi kerana baru menumpaskan Everton 3-1, Sabtu lalu, sekali gus menghambat pendahulu liga, Manchester City dengan tiga mata dan dipisahkan satu mata di belakang United.

Skuad Blues turun sebagai pilihan ke atas Genk, namun Villas-Boas memberi amaran kepada pemainnya agar tidak memandang mudah perlawanan itu jika berhasrat muncul juara Kumpulan E. Chelsea menang aksi pembukaan dengan Bayer Leverkusen tetapi seri di Valencia untuk menerajui kumpulan ketika ini

No comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by asapstock.blogspot.com | Bloggerized by asap The Doctor - Premium Blogger | Enterprise Project Management