)MADRID: Gonzalo Higuain mencipta hatrik ketiga dalam tempoh dua minggu ketika membantu Real Madrid melakar kemenangan 4-1 ke atas Real Betis kelmarin sementara dua gol Lionel Messi memastikan Barcelona kekal di tangga teratas liga selepas menewaskan Racing Santander 3-0.
Messi yang juga Pemain Terbaik Dunia, menjaringkan gol pada setiap babak di Nou Camp untuk melebarkan jumlah jaringan peribadi kepada 10 pada saingan liga musim ini sementara Barcelona mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga dengan mengumpul 17 mata daripada tujuh perlawanan.
Real Madrid ketinggalan satu gol di tempat kedua selepas rakan senegara Messi dari Argentina, Higuain mencipta hatrik kedua dalam saingan La Liga.
Selepas meledakkan tiga gol ketika menentang Sepanyol, Higuain mengulangi rekod sama ketika bertemu Chile pada minggu lalu.
“Saya sangat gembira. Selepas menunggu sekian lama untuk bermain, kini saya amat gembira dengan prestasi saya,” kata pemain berusia 23 tahun itu kepada televisyen Sepanyol, merujuk kecederaan belakang yang menyaksikannya diketepikan hampir sepanjang musim lalu dengan tempatnya digantikan Karim Benzema.
“Saya tidak dapat beraksi sejak beberapa minggu lalu dan sebab itu saya menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan,” tambahnya selepas jaringan hatrik yang dilakar pada separuh masa kedua ketika menentang Betis melebarkan rekod jaringan peribadinya kepada lapan.
No comments:
Post a Comment