BUCHAREST: Penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov tetap dengan pendiriannya untuk bersara dari kancah bola sepak antarabangsa meskipun ratusan penyokong Bulgaria sanggup ke Romania mendesaknya mengubah keputusan itu.
“Saya tidak menjangkakan reaksi seumpama ini,” kata Berbatov, yang tidak diturunkan pada perlawanan Liga Juara-Juara menentang Otelul di National Arena di Bucharest yang menyaksikan kemenangan Manchester United 2-0.
“Saya tidak boleh beraksi untuk skuad kebangsaan sekiranya tidak bermain di kelab,” katanya yang merayu pengurus Alex Ferguson supaya memberikannya lebih banyak peluang beraksi dalam pasukan utama.
Berbatov, 30, dengan 48 gol dalam 79 perlawanan antarabangsa, bersara daripada skuad kebangsaan, Mei tahun lalu.
Bulgaria berdepan kesukaran dengan ketiadaan bintang bola sepak itu dengan hanya meraih tiga gol dalam saingan kelayakan Euro 2012 dan berakhir di tangga tercorot peringkat kumpulan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong, ia sangat mengharukan. Rakan seangkatan turut hairan dengan bunyi bising di luar hingga saya terpaksa menjelaskan kepada mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment