Debaran United (21oct 2011) ~ asapstock.blogspot.com

Thursday 20 October 2011

Debaran United (21oct 2011)

MANCHESTER: Alex Ferguson semakin bersemangat menjelang pertarungan jiran setempat Manchester yang dianggap paling besar dalam tempoh 25 tahun beliau menjadi pengurus United apabila melayan kunjungan pendahulu Liga Perdana, City, Ahad ini.

City yang mendahului dua mata ke atas pasukan jirannya itu dan memiliki keyakinan tinggi hasil tiga kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan menjadikan pertarungan itu lebih kepada perebutan kejuaraan dan bukannya soal permusuhan setempat.

Selepas menafikan kecaman Ferguson pada musim kebelakangan ini sebagai “kelab kecil dengan mentaliti lemah” dan “jiran bising”, City mula menyedari persepsi berbeza pengendali dari Scotland mengenai perlawanan itu.

Ditanya jika ia dianggap pertarungan terbesar Manchester sejak beliau mengendalikan United, Ferguson berkata: “Ya, saya fikir begitu.

“Beberapa tahun lalu perlawanan setempat ini menjadi lebih sengit dan menjadi lebih penting,” kata Ferguson yang turut menganggap perlawanan dengan musuh tradisi, Liverpool sebagai perlawanan terbesar musim ini.

“Pada perlawanan Ahad ini, pasukan di tangga teratas menentang pasukan di tangga kedua dan ia pastinya menjadi tumpuan semua orang. Saya tidak sabar menanti perlawanan itu.” Meskipun hakikatnya United tidak kalah selama 18 bulan di Old Trafford, City juga mempunyai kelebihan untuk dianggap pilihan memandangkan prestasi semasanya.

Ketika pertahanan United dilihat goyah dan mudah membenarkan pihak lawan menguasai permainan selain seri tiga perlawanan dan hanya menang dua daripada lima perlawanan terakhir mereka, City kini dilihat lebih hebat.

Skuad kendalian Roberto Mancini itu mempunyai purata jaringan lebih tiga gol dalam satu perlawanan untuk berada di tangga teratas liga dengan 22 mata dalam lapan perlawanan.

Kedua-dua pasukan masih belum kalah dalam saingan liga dan akan turun beraksi dengan semangat membara hasil kemenangan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu ini.

City meraih kemenangan menerusi jaringan masa tambahan Sergio Aguero dan United pula terpaksa berterima kasih kepada dua gol sepakan penalti Wayne Rooney.

No comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by asapstock.blogspot.com | Bloggerized by asap The Doctor - Premium Blogger | Enterprise Project Management