Ferguson akan buat Mancini menderita (26oct 2011) ~ asapstock.blogspot.com

Tuesday 25 October 2011

Ferguson akan buat Mancini menderita (26oct 2011)



Alex Ferguson


LONDON - Bekas bintang penyerang England, Ian Wright percaya, pengurus Manchester City, Roberto Mancini bakal berdepan ujian paling sukar sepanjang kariernya sebagai pengurus iaitu berurusan dengan permainan psikologi Alex Ferguson.

Kevin Keegan pernah tewas di bawah tekanan Ferguson, malah pengurus Arsenal, Arsene Wenger bergelut selama beberapa tahun kerana perkara yang sama.

Selepas melakar kemenangan luar biasa 6-1 di Old Trafford, Ahad lalu, Mancini bakal mendapati dirinya berada di posisi yang tidak pernah difikirkan, kerana Ferguson akan menggunakan segala taktik yang ada untuk memberi tekanan kepada jurulatih kelahiran Itali itu.

Antara langkah pertama yang akan dilakukan pengurus veteran itu adalah memberi tekanan berterusan kepada City dengan menekankan bahawa United tetap akan merangkul kejuaraan liga, tetapi pada masa yang sama memberi pengharapan kepada penyokong City.

Mancini pernah membimbing tiga kelab besar di Itali iaitu Fiorentina, Lazio dan Inter Milan, namun dalam Serie A, tiada orang seperti Ferguson yang suka mencelah ketika sidang akhbar pra-perlawanan.

"Saya adalah peminat setia pengurus United dan pasukannya. Saya yakin mereka pasti akan bangkit daripada kekalahan besar itu.

"Saya beri jaminan bahawa Fergie pasti akan terus menekan City dengan menegaskan bahawa pasukan itu tidak mungkin merangkul kejuaraan, United tetap pilihan utama dan perjalanan masih panjang untuk mereka mengejar City.

"Bagi City pula, saya tidak suka dengan gelaran jiran yang bising yang diberikan kepada mereka. Pasukan ini sedang berada pada kedudukan yang bagus, namun mereka sedar kalau mereka terlepas beberapa mata maka United menunggu masa untuk 'mematahkan leher' mereka,'' kata Wright.

Ujar Wright lagi, anak-anak buah Mancini juga masih perlu berkunjung ke tiga gergasi England, Liverpool, Chelsea dan Arsenal, dan perlu membawa pulang mata penuh untuk mengukuhkan kedudukan.

Malah katanya, Mancini juga berdepan dengan tekanan dapenyokongnya sendiri yang kini meletakkan harapan tinggi untuk melihat pasukan itu menjulang kejuaraan liga pertama selepas sekian lama sedang hakikatnya aksi liga masih panjang.

"Seperti Jose Mourinho, saya rasa Mancini sangat menghormati Ferguson, jadi saya tidak pasti sama ada akan berlaku perbalahan mulut di antara mereka.

"Pada perlawanan minggu lalu, saya tidak rasa United bermain pada tahap sebenar tetapi anda juga pasti bersetuju bahawa City adalah pasukan yang baik.

"Tindakan buang padang Jonny Evans adalah detik yang genting selepas United ketinggalan 0-1 ketika itu tetapi kita juga boleh lihat City lebih menyerlah dengan persembahan hebat dari James Milner, Yaya Toure, David Silva, Micah Richards dan Mario Balotelli.

"Saya percaya, City tetap akan menang sekali pun jika tiada pemain yang dibuang padang. Mereka tidak gentar berdepan United, itulah sikap yang saya suka,' ujar Wright lagi.

Bagaimanapun tegas Wright, pemain-pemain City kini berdepan tugas berat untuk menjulang kejuaraan iaitu memastikan mereka mampu mengekalkan kosistensi.

No comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by asapstock.blogspot.com | Bloggerized by asap The Doctor - Premium Blogger | Enterprise Project Management