Dalglish bangkit pertahan 'lakonan' Suarez (24oct 2011) ~ asapstock.blogspot.com

Sunday 23 October 2011

Dalglish bangkit pertahan 'lakonan' Suarez (24oct 2011)


Pemain Liverpool Luis Suarez (tengah) yang diasak oleh dua pemain Norwich menanduk bola ke arah gawang gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield, semalam. Kedua-dua pasukan terikat 1-1. - REUTERS


LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish sekali lagi bersungguh-sungguh mempertahankan Luis Suarez selepas penyerang Uruguay itu diheret dalam satu lagi kontroversi Liga Perdana Inggeris, semalam.

Hanya seminggu selepas didakwa oleh pertahanan Manchester United, Patrice Evra mengeluarkan kenyataan berbau perkauman, Suarez menarik lebih banyak kritikan ketika Liverpool seri 1-1 dengan Norwich kelmarin apabila dia jatuh di atas padang Anfield selepas diasak Marc Tierney.

Pengadil, Peter Walton bagaimanapun enggan menghukum pertahanan lawan dan tidak mengambil sebarang tindakan.

"Saya akan berkata sesuatu tetapi tidak mahu menambah. Orang mempersoalkan integriti Luis Suarez, sedangkan integriti mereka yang sebenarnya perlu dipersoalkan,'' tegas Dalglish.

Pada perlawanan minggu lalu, pengurus United, Alex Ferguson turut mendakwa Suarez sengaja menjatuhkan badannya.

"Di padang bola sepak, dia pemain yang boleh diteladani. Dia seorang pemain bola sepak yang hebat, kami mempunyai 100 peratus kepercayaan kepada Luis Suarez dan cara dia berkelakuan," katanya.

Sementara itu, Dalglish menegaskan beliau tidak bimbang tentang dengan prestasi Liverpool di tempat sendiri biarpun terlepas satu lagi peluang untuk merapatkan kedudukan merebut tiket Liga Juara-Juara Eropah.

Skuad Reds hanya memenangi dua daripada lima perlawanan di tempat sendiri selepas diikat Norwich dalam saingan terbaru kelmarin.

Mereka juga gagal menghalang gawang daripada dibolosi dalam semua perlawanan tersebut, termasuk ketika seri dengan Sunderland dan Manchester United, selain menang 2-1 ke atas kelab bermasalah, Wolves.

Liverpool dilihat sering bergelut apabila berdepan kelab bawahan, malah empat daripada enam kekalahan mereka musim lalu adalah kepada pendatang baru liga.

Kelmarin, mereka melakukan 25 percubaan ke pintu gol Norwich, malangnya percubaan itu gagal diterjemahkan menjadi gol. Kurangnya naluri pemusnah sesuatu yang membimbangkan Dalglish.

"Kalau anda gagal menyempurnakan peluang, maka anda akan membuka peluang kepada orang lain, mereka mengambilnya dengan baik.

"Kami kecewa dengan keputusan ini tetapi saya pasti kami pernah bermain lebih teruk dari ini dan membawa pulang kemenangan. Anda bekerja keras untuk mendapatkan peluang dan ia sukar untuk menerima setelah mencuba ini hasilnya.

"Begitupun, kalau kami terus mencipta peluang, mempunyai pemain yang cukup untuk menangani lawan, kalau kami terus bermain melawan, kami boleh memenangi lebih banyak perlawanan,'' ujar Dalglish.

Mendapat tempat dalam kesebelasan utama Liga Perdana buat kali pertama sejak kembali ke Liverpool, Craig Bellamy menjaringkan gol pembukaan Reds beberapa saat sebelum tamat babak pertama, iaitu gol pertamanya sejak meninggalkan Manchester City.

Grant Holt bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-60 untuk jaringannya yang ke-50 daripada 100 penampilan bersama Norwich, sekali gus membolehkan pengurus pasukan, Paul Lambert meneruskan musim yang baik.

Malah, Lambert percaya, John Ruddy menjadi faktor utama kejayaan pasukannya mengikatReds selepas penjaga gol itu menyelamatkan beberapa percubaan bahaya lawan dan mencadangkan agar dia diberi perhatian skuad kebangsaan England.

Bekas penjaga gol Everton itu, yang genap 25 tahun minggu depan mempamerkan aksi hebat di Anfield, termasuk menyelamatkan voli cantik Suarez, empat minit memasuki masa kecederaan.

No comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by asapstock.blogspot.com | Bloggerized by asap The Doctor - Premium Blogger | Enterprise Project Management